Issuu on Google+

1 CIRI-CIRI DAN KEMAHIRAN YANG DIPERLUKAN DALAM PEMBANGUNAN MODAL INSAN BERKUALITI. Jamailia bt Jumahari Israaq bt Amiruddin Hamizatun Akmal bt Md Yusof Hamdiah Abdul Hamid Azwandi Azalan Prof Datin Dr Juriah Long Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia

Abstract The development of human capital is one of the most important aspects in developing a nation. Therefore, the role of all parties is the primary factor in realizing human capital development of the highest quality. The objective of this paper is to identify the elements and skills required in order to develop a quality human capital. This discussion is based on the previous researches concerning the capability of quality human capital development in handling problems such as unemployment among graduates, the decrease of discipline among students, lack of expertise at work and low achievers among students. This paper was produced by synthesizing critically and analytically 10 related journals. Since the development of human capital is one of the most important aspects in developing a nation, this paper will explain in depth the important aspects, elements and skills needed in order to help the development of human capital which will bring to a well developed nation. This paper will also propose suggestions on how to develop the best and excellent human capital.

2 Abstrak Pada masa kini, pembangunan modal insan menjadi aspek penting dalam pembangunan sesebuah negara. Oleh itu, peranan semua pihak menjadi faktor utama dalam merealisasikan pembangunan modal insan berkualiti. Kertas kerja ini bertujuan untuk mengenal pasti ciri-ciri dan kemahiran yang diperlukan dalam membangunkan modal insan berkualiti. Perbincangan ini berdasarkan kepada kajian-kajian lepas tentang keupayaan pembangunan modal insan yang berkualiti dalam menangani masalah-masalah seperti penganguran dalam kalangan siswazah, kemerosotan displin dalam kalangan pelajar, kekurangan kepakaran dalam tenaga kerja dan masalah pencapaian rendah dalam kalangan pelajar. Kertas ini berbentuk kajian analitis yang dihasilkan daripada analisis dan sintesis sepuluh buah makalah yang berkaitan tajuk kajian. Memandangkan pembangunan modal insan penting dalam pembangunan negara, maka kertas kerja ini ingin mengupas dengan lebih lanjut aspek-aspek penting tentang ciri-ciri dan kemahiran yang diperlukan untuk pembangunan modal insan dan seterusnya membawa kepada peningkatan kemajuan dan kesejahteraan negara. Perbincangan ini juga akan mengemukakan beberapa cadangan-cadangan bagi membangunkan modal insan yang cemerlang.

PENGENALAN Modal insan merupakan suatu elemen penting yang menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan negara. Modal insan yang berkualiti akan memberikan nilai tambah yang diperlukan oleh sesebuah negara yang sedang membangun bagi mempertingkatkan produktiviti yang dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara. Usaha ke arah penjanaan modal insan yang berkualiti dan akan menjadi pemangkin kepada proses peningkatan kemajuan dan juga kesejahteraan masyarakat. Kepesatan pembangunan negara sememangnya memerlukan modal insan yang berilmu dan berkemahiran dalam melaksanakan tanggungjawab pembangunan. Justeru itu, modal insan dilihat memainkan peranan yang besar dalam proses perancangan dan pelaksanaan agenda pembangunan negara. Kertas konsep ini membincangkan ciri-ciri dan kemahiran yang diperlukan dalam membangunkan modal insan berkualiti. Tumpuan ciri-ciri dan kemahiran yang dibincangkan bukan sahaja mengikut norma masyarakat, tetapi juga perlu seiring dengan tuntutan agama

3 seperti mempunyai asas kerohanian yang mantap, asas ilmu yang yang mampan dan asas akhlak serta nilai-nilai murni. Pembangunan modal insan penting untuk kemajuan dan pembangunan sesebuah masyarakat, agama dan negara. Ini kerana, masyarakat yang berkualiti terdiri daripada individu yang berkualiti( Shuhairimi et al., 2007) . Oleh itu, pembangunan insan itu sendiri penting dalam melahirkan masyarakat yang cemerlang. Dari perspektif agama pula, modal insan itu merangkumi duniawi dan ukhrawi, material dan spiritual. Islam melarang umatnya mengabaikan salah satu darinya kerana ini akan membawa kepada kemerosotan dan kejatuhan umat Islam, umumnya masyarakat umum. Pembangunan modal insan juga dapat mencorak hala tuju negara ke arah mencapai wawasan yang disasarkan. Ia perlu selaras dengan pendekatan konsep Islam Hadhari yang telah diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri. Perlaksanaan konsep Islam Hadhari adalah satu gagasan yang baik dan memberi faedah kepada kepentingan umum kerana mampu menjana kepada pembangunan negara. Selain itu, pembangunan modal insan yang mantap mampu melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran dan berpotensi. Isu penganguran dapat dikurangkan melalui konsep penjanaan modal insan ini( Mohd Izham et al., 2008). Justeru itu, kajian ini bertujuan untuk melihat ciri-ciri dan kemahiran yang diperlukan dalam menjamin modal insan yang berkuaiti. KONSEP MODAL INSAN BERKUALITI Menurut Mohd Ariffin (2007), modal insan boleh didefinasikan sebagai sumber manusia yang menyumbangkan bakti apabila bekerja dan mendapat kerja. Dalam erti kata yang lain, modal insan merupakan tenaga manusia yang akan menentukan gagal jaya sesuatu perancangan untuk mencapai sesuatu matlamat. Shuhairimi dan Muhammad Nasiruddin (2007) berpendapat, modal insan merujuk kepada kepada individu yang dapat memperkasakan dirinya baik dari segi ilmu mahupun berdaya saing dari segi teknikal ataupun profesional. Manakala kualiti seseorang insan menurut Mohd Izham et al. (2007) bergantung kepada dua faktor iaitu faktor kelayakan diri seseorang seperti komitmen, pengetahuan, integriti dan kebolehan merancang dan membuat perubahan. Kedua, ialah faktor interaktif seperti menjadi model, perunding cara, bersikap adil dan hubungan sesama insan. Ini bermaksud konsep pembangunan modal insan adalah proses membentuk insan yang berilmu dan berguna bukan sahaja untuk dirinya malah masyarakat, agama dan negara. Sekiranya negara tidak mempunyai modal insan yang berkualiti, ia akan

4 menjadi lemah kerana ketiadaan inisiatif baru dalam aktiviti sosio ekonominya (Mohd Izham et al., 2007). Justeru, modal insan berkualiti dapat disimpulkan sebagai modal insan yang melalui proses pendidikan dan berpandukan pada sistem Falsafah Pendidikan Negara serta dapat memenuhi hasrat pemegang kepentingan seperti ibu bapa, masyarakat dan negara khususnya (Mohd Izham et al., 2007). ISU-ISU Hasil pembacaan literatur yang lepas, kebanyakan kajian yang telah dijalankan membincangkan masalah dan halangan dalam membangunkan modal insan dalam kalangan pelajar dan individu. Di antara masalahnya adalah seperti pengangguran, masalah disiplin, kekurangan kepakaran dan masalah pelajar yang berpencapaian rendah .Walau bagaimanapun halangan ini dapat diatasi dengan mengetahui ciri-ciri dan kemahiran yang diperlukan dalam membangunkan modal insan. Dalam kertas konsep ini, terdapat dua isu utama yang akan diperbincangkan. Pertama, apakah ciri-ciri yang diperlukan dalam membangunkan modal insan berkualiti. Isu kedua, apakah kemahiran yang dapat membantu dalam membangunkan modal insan berkualiti. APAKAH CIRI-CIRI YANG DIPERLUKAN DALAM MEMBANGUNKAN MODAL INSAN BERKUALITI? Dalam pembangunan modal insan, manusia yang menjadi unsur pentingnya. Membangunkan modal insan bermaksud mempertingkatkan kualiti diri manusia sama ada dari aspek pemikiran, fizikal, rohani dan emosi (Shuhairimi et al., 2007). Pembentukan modal insan harus dilihat secara menyeluruh membabitkan semua aspek kehidupan dalam individu dan masyarakat di negara ini. Pelbagai aspek perlu diberi penekanan dalam usaha membina modal insan yang bersepadu iaitu ilmu pengetahuan, daya intelek, kemahiran, tahap peningkatan ekonomi dan kebudayaan (Fadillah & Tengku Sarina Aini, 2007). Menurut Amla et al. (2007) dan Amini Amir (2006), di antara ciri-ciri yang perlu ada dalam membangunkan modal insan berkualiti ialah penguasaan ilmu pengetahuan, modal intelektual termasuk ilmu Sains, Teknologi dan Keusahawanan, pembudayaan sikap progresif serta pengamalan nilai, etika dan moral yang tinggi.

5

Fadillah dan Tengku Sarina Aini (2007) berpendapat, dalam melahirkan modal insan yang berkesan dalam sesebuah organisasi di antara ciri-ciri utamanya adalah keikhlasan dan semangat. Keikhlasan memberikan impak yang sangat bermakna dalam melakukan sesuatu pekerjaan kerana ianya terserlah melalui perbuatan dan etika seseorang. Sekiranya keikhlasan wujud dalam sesuatu pekerjaan, sudah tentu ia akan dapat menimbulkan semangat juang yang tinggi. Keduanya, keupayaan berfikir dimana ia hanya dapat dihasilkan daripada ilmu pengetahuan dan pengalaman yang dimiliki. Mereka yang tidak berilmu tidak akan mampu menjadi pemimpin yang baik dan tidak berupaya mengolah maklumat bagi menghasilkan strategi yang baik (Fadillah & Tengku Sarina Aini, 2007). Ketiganya, berorientasikan pelanggan dimana sentiasa mengutamakan dan memenuhi keperluan pelanggan. Ciri yang terakhir ialah keupayaan berkomunikasi iaitu senantiasa berkomunikasi secara berkesan dengan pegawai-pegawai dan pekerja di bawahnya dalam konteks untuk sama-sama memahami dan komited dengan strategi, misi, visi, matlamat serta aktiviti yang dirancang (Fadillah & Tengku Sarina Aini, 2007). Penjanaan modal insan yang berasaskan kepada pendekatan Islam Hadhari adalah manusia yang seimbang dari aspek fizikal, rohani dan juga spiritual (Shuhairimi et al., 2007). Di antara ciri-ciri yang mampu untuk membangunkan modal insan yang berkualiti dan bersepadu adalah merangkumi asas ilmu yang mampan, asas kerohanian yang mantap serta akhlak dan nilai-nilai murni (Shuhairimi et al., 2007). Ketiga-tiga ciri ini dikenal pasti berdasarkan pendekatan prinsip Islam Hadhari yang diperkenalkan pada tahun 2004 oleh Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang bertujuan untuk memartabatkan semula pembinaan peradaban masyarakat Islam. Islam sangat menekankan insan yang berkualiti dengan penguasaan ilmu. Ini kerana, ilmu pengetahuan merupakan komponen penting yang perlu di cari oleh manusia dalam menjamin kelangsungan kebudayaan manusia. Tanpa penguasaan ilmu pengetahuan, ianya akan mendorong kepada keruntuhan sesebuah tamadun manusia yang disebabkan oleh kejahilan dan kebodohan bangsa manusia. Oleh yang demikian, manusia yang dibangunkan tanpa asas ilmu bukan sahaja akan menjejaskan fungsi mereka sebagai khalifah di bumi ini bahkan akan mematikan potensi keinsanan yang wujud dalam diri manusia (Shuhairimi et al., 2007). Justeru, pembudayaan ilmu merupakan mekanisme yang berpotensi dalam menghasilkan modal insan

6 yang kompeten. Natijah daripada pembudayaan ilmu dapat melahirkan insan yang bertamadun, berilmu serta mewujudkan masyarakat yang bertoleransi dan saling bantu-membantu. Asas kerohanian yang mantap juga perlu diberi perhatian dalam usaha membangunkan modal insan. Ini kerana melalui pegangan agama manusia dapat memahami penciptanya serta hakikat dan peranan dirinya sebagai hamba. Pembangunan insan yang diprojekkan oleh Islam perlu berteraskan kepada kekuatan rohani yang bersumberkan kepada akidah rabbani kerana asas tersebut akan membentuk jati diri yang unggul kepada individu muslim (Shuhairimi et al., 2007). Menurut Asmawati (2007), untuk membangunkan insan secara menyeluruh, ia memerlukan kekuatan rohani kerana ia merupakan asas kepada pembangunan insan. Justeru itu, modal insan yang dijana dengan elemen kerohanian akan melahirkan tenaga kerja yang sentiasa mengaaplikasikan nilai-nilai murni dalam setiap pekerjaan yang dilakukan. Kepentingan asas akhlak dalam membangunkan modal insan memang tidak dapat dinafikan. Ini kerana akhlak merupakan sebahagian daripada elemen penting untuk melahirkan modal insan yang berkualiti (Asmawati, 2007). Nabi Muhammad S.A.W telah meletakkan akhlak sebagai unsur yang penting untuk diaplikasikan dalam keseluruhan kehidupan manusia. Menurut ajaran Islam, setiap tingkah laku manusia tidak akan terlepas daripada diikat dengan nilai-nilai

akhlak. Nilai akhlak dianggap sebagai kawalan sosial bagi umat Islam dalam

memelihara tindak tanduk individu melakukan sesuatu perkara yang bertentangan dengan kehendak agama dan norma-norma masyarakat (Shuhairimi et al., 2007). Oleh yang demikian, pembangunan modal insan yang cemerlang tidak akan berjaya sekiranya sistem tersebut gagal melahirkan insan yang kaya dengan nilai akhlak yang luhur. Menurut pandangan Norshidah & Khalim (2007), bagi membangunkan modal insan yang berkualiti dalam kalangan pelajar, bukan ilmu pengetahuan dan memiliki kemahiran sahaja yang ditekankan, tetapi juga menghayati nilai-nilai murni, bermoral, bersikap positif dan berdisiplin. Dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan menyebut bahawa “Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu demi mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha

7 ini adalah bagi melahirkan rakyat yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara�. Berdasarkan pernyataan Falsafah Pendidikan Negara, matlamat pendidikan di negara ini adalah jelas iaitu melahirkan insan yang mempunyai ciri-ciri dan kualiti yang baik. Justeru itu, dengan mengetahui ciri-ciri yang diperlukan dalam pembangunan modal insan semua pihak perlulah berganding bahu agar impian ini dapat direalisasikan dengan jayanya. APAKAH KEMAHIRAN YANG DAPAT MEMBANTU DALAM MEMBANGUNKAN MODAL INSAN BERKUALITI? Menurut Mohd Izham et al., kemahiran insaniah memainkan peranan penting dalam membantu membangunkan modal insan berkualiti kerana kemahiran insaniah ini mampu untuk menangangi isu lambakan pengangguran siswazah (Mohd Ariffin, 2007), isu kemorosotan disiplin pelajar (Norshidah & Khalim, 2007) dan isu pencapaian rendah di kalangan pelajar(Amla et al., 2007). Istilah kemahiran insaniah baru diwujudkan mulai tahun 2005 (Shuhairimi et al., 2007) kerana para majikan mendapati bahawa para graduan yang memohon pekerjaan tidak mempunyai kemahiran ini (Mohd Izham et al., 2007). Kemahiran ini perlu dimiliki oleh setiap individu untuk melahirkan modal insan atau pekerja yang berkualiti dan efisyen dalam membantu membangunkan sesebuah Negara (Fadillah& Tengku Sarina Aini, 2007). Kemahiran ini juga merujuk kepada “soft skills�(Mohd Izham et al., 2007). Kemahiran insaniah dapat didefinisikan sebagai kemahiran-kemahiran dan kebolehankebolehan bukan teknikal yang diperlukan dalam persekitaran kerja yang khusus (Amini, 2006 dan Mohd Izham et al., 2007). Walau bagaimanapun, istilah kemahiran insaniah juga boleh merujuk kepada kemahiran tingkah laku (Kamil & Affandi, 2008), kemahiran sosial (Norshidah & Khalim, 2007), dan kemahiran kepimpinan (Asmawati, 2007). Kesedaran mengenai pentingnya kemahiran insaniah ini dalam menyumbang kepada pembangunan modal insan berkualiti menuntut Kementerian Pengajian Tinggi menyediakan satu modul dalam membantu pelajar mendapatkan kemahiran ini. Menurut Mohd Ariffin (2007), Modul Pembangunan Kemahiran Insaniah yang disediakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi membabitkan tujuh

8 komponen utama seperti kemahiran berkomunikasi, pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran berpasukan, pembelajaran berterusan dan pengurusan maklumat, kemahiran keusahawanan, etika dan moral professional serta kemahiran kepimpinan. Selain modul yang diperkenalkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, YAB Perdana Menteri juga telah menggariskan tiga kemahiran yang diperlukan dalam melahirkan modal insan berkualiti termasuk kemahiran penguasaan ilmu pengetahuan, kemahiran inovasi dan kemahiran yang merujuk kepada kekuatan moral (Amini, 2006). Bagi Mohd Izham et al. (2007), kemahiran insaniah tidak mencukupi untuk melahirkan modal insan berkualiti tetapi kemahiran itu perlu digabungkan bersama kemahiran teknikal seperti kemahiran komputer. Berbeza pula dengan (Amla et al., 2007; Norshidah & Khalim, 2007; Kandar & Asnul, 2006) di mana mereka berpendapat bahawa, dalam melahirkan modal insan berkualiti, kemahiran insaniah perlu digabungkan bersama kemahiran teknikal dan kemahiran kognitif seperti kemahiran membuat penyelidikan, kemahiran numerik dan kemahiran menilai. Penggabungan kemahiran perlu bagi membantu murid tahu kekurangan dan kelebihan diri. Menurut Asmawati (2007), untuk menerapkan konsep kemahiran insaniah dalam pembangunan modal insan berkualiti, tidak hanya bergantung kepada kursus atau aktiviti yang dijalankan oleh kementerian semata-mata. Proses itu boleh dilakukan oleh guru-guru semasa sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Guru-guru perlu kreatif untuk menyuntik konsep tersebut dan perlu tahu bagaimana untuk menjelaskan kepada pelajar. Ini kerana tidak semua pelajar mampu untuk meluangkan masa menghadirkan diri ke kursus atau aktiviti yang dijalankan di luar waktu persekolahan. Jadi, pelajar akan memahami dan dapat membina kemahiran yang diperlukan. Kemahiran-kemahiran ini dapat menyumbang kepada pembangunan modal insan berkualiti dan dapat membentuk ketrampilan diri pelajar (Kandar & Asnul, 2006) serta membantu pelajar membuat persediaan awal sebelum memasuki satu organisasi (Fadillah & Tengku Sarina Aini, 2007).

9 Kebelakangan

ini,

penerapan

kemahiran

insaniah

yang

menyumbang

kepada

pembangunan modal insan telah di beri fokus yang maksimum kerana perkembangan semasa pendidikan negara telah menampakkan perubahan, di mana kecemerlangan individu tidak lagi berdasarkan kepada keputusan peperiksaan semata-mata tetapi kecemerlangan individu dilihat perlu mencakupi pelbagai sudut sama ada akademik dan bukan akademik (Kamil& Affandi, 2008; Amini, 2006). Oleh itu, pihak yang bertanggungjawab perlu membantu pelajar membuat persediaan untuk mendapatkan kemahiran ini. Program Latihan Khidmat Negara atau PLKN merupakan satu lagi usaha pihak kerajaan dalam membentuk kemahiran yang diperlukan dalam pembangunan modal insan ( Kamil & Affandi, 2008). Kesan kemahiran insaniah yang telah di ajar ke atas individu boleh dilihat ketika mereka menjejakkan kaki di alam pekerjaan kelak sama ada di sektor swasta mahupun kerajaan (Mohd Ariffin, 2007; Fadillah &Tengku Sarina Aini, 2007). Ini kerana mereka yang mempunyai kemahiran insaniah lebih tahu bagaimana untuk menangani masalah yang datang dan lebih bijak dalam mengawal apa jua situasi (Mohd Izham et al., 2007). Shuhairimi et al. (2007) berpendapat bahawa individu yang hadir bersama kemahiran insaniah akan lebih berkualiti dalam melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan kerana persepsi dan pemikiran mereka lebih terbuka dan bersedia untuk melakukan perubahan seiring dengan kehendak situasi (Kamil&Affandi, 2008). Kemahiran yang telah diajar berperanan sebagai pembimbing dan peransang kepada individu untuk berdikari dan cepat bertindak dengan keadaan sekeliling mereka (Kandar&Asnul, 2006; Amini, 2006) Walau bagaimanapun, kekurangan komitmen dalam kalangan pelajar atau tidak mahu melibatkan diri dalam aktiviti proses pembangunan kemahiran insaniah akan menjejaskan keberkesanan pembangunan kemahiran insaniah (Kandar &Asnul, 2006) kerana kemahiran ini memerlukan komunikasi dua hala (Mohd Izham et al., 2007). Dalam konteks organisasi, kemahiran insaniah juga amat penting untuk melahirkan modal insan berkualiti. Menurut Fadillah & Tengku Sarina Aini (2007), antara bentuk-bentuk kemahiran yang diperlukan dalam pembangunan modal insan di dalam sesebuah organisasi adalah seperti kemahiran berkomunikasi, kemahiran kepekaan pekerja terhadap keperluan manusia, kemahiran membina suasana pengurusan yang harmoni, kemahiran dalam hubungan menolong, kemahiran memujuk

10 atau mempengaruhi perubahan tingkah laku, kemahiran psikologi, kemahiran melayan, kemahiran mendengar serta kemahiran memberi dan menerima maklum balas. Di samping itu, segala kemahiran ini perlu di gilap di dalam diri setiap pekerja agar kecemerlangan dan keharmonian organisasi dapat dikekalkan. Ini kerana, pembentukan modal insan harus dilihat secara menyeluruh membabitkan semua aspek kehidupan dalam individu dan masyarakat di negara ini(Amini, 2006; Izham et al., 2007; Kandar& Asnul, 2006). Oleh itu, pelbagai aspek perlu diberi penekanan dalam usaha membina modal insan yang bersepadu agar dapat melahirkan individu yang berilmu, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara(Asmawati, 2007; Shuhairimi et al., 2007; Kandar &Asnul, 2006). Kesemua kemahiran dalam kemahiran insaniah yang telah dikenalpasti sememangnya memainkan peranan yang penting dalam pembangunan diri individu dan pembentukan kerjaya yang cemerlang (Shuhairimi et al., 2007; Mohd Ariffin, 2007; Amla et al., 2007). CADANGAN Salah satu wadah utama untuk mengimplentasikan ciri-ciri dan kemahiran yang diperlukan dalam pembangunan modal insan berkualiti, ialah melalui konteks pendidikan (Amla et al., 2007; Asmawati, 2007). Pendidikan memainkan peranan penting dalam usaha membangunkan modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketrampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan, dan berkemahiran tinggi. Selain itu, bengkel kerjaya juga dilihat mampu untuk menyumbang kepada pembangunan modal insan yang berkualiti kerana ianya bukan sahaja telah berjaya meningkatkan motivasi dan kemahiran belajar pelajar (Amla et al., 2007) malah mampu mempersiapkan diri remaja ke alam persediaan kerjaya sekaligus menangani masalah pengangguran di kalangan mereka(Mohd Ariffin, 2007). Selain bengkel kerjaya, guru-guru juga perlu tahu pendekatan yang perlu di ambil dalam membantu menyuntik ciri-ciri dan kemahiran modal insan dalam diri pelajar. Ini kerana, di peringkat sekolah guru memainkan peranan penting dalam pembentukan insan(Norshidah & Khalim, 2007). Guru-guru perlu menggalakkan kemahiran berfikir dan pembentukan kreativiti di

11 kalangan pelajar (Amla et al., 2007) kerana elemen ini menyumbang kepada produktiviti dan kualiti perkhidmatan pada masa akan datang (Amini, 2006). Di samping itu, guru perlu sentiasa peka dan berusaha membina hubungan yang positif dengan pelajar agar pelajar tidak rasa terabai dan tersisih (Asmawati, 2007; Norshidah &Khalim, 2007). Selain aspek pendidikan, ciri-ciri dan kemahiran yang diperlukan dalam pembangunan modal insan boleh diperkasakan di dalam organisasi (Amini, 2006) di mana organisasi boleh menyediakan program latihan konvensional dan ketrampilan bagi pekerja baru (Kandar& Asnul, 2006), menggalakkan pekerja untuk menambah ilmu pengetahuan secara konsisten, maklumat dan kemahiran dengan menghantar mereka menghadiri kursus (Amini, 2006) dan menitikberatkan tentang hubungan di antara pihak pengurusan dengan pihak orang bawahan dalam memajukan pengurusan organisasi secara berkesan (Fadillah&Tengku Sarina Aini, 2007). KESIMPULAN Daripada perbincangan di atas, jelas menunjukkan bahawa perhatian serius wajar diberikan kepada pembangunan modal insan berkualiti. Umum mengetahui modal insan yang berkualiti ialah tenaga kerja yang melalui proses pendidikan yang berpaksikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan dapat memenuhi hasrat pemegang-pemegang kepentingan seperti ibu bapa, masyarakat dan negara amnya. Modal insan yang berkualiti menjadi penentu kepada hala tuju negara Malaysia. Bertitik tolak daripada itu, kerajaan merasakan bahawa sektor pendidikan memainkan peranan penting dalam menyumbang usaha dalam pembentukan modal insan yang berkualiti (Mohd Izham et al., 2007 ; Mohd Ariffin, 2007; Norshidah & Khalim, 2007; Asmawati, 2007; Amla et al., 2007; Kandar & Asnul, 2006). Modal insan berkualiti dikatakan sepatutnya memenuhi ciri-ciri yang bersepadu iaitu penguasaaan ilmu pengetahuan, mempunyai daya intelek yang tinggi, berkemahiran, berkemampuan dalam meningkatkan ekonomi dan kebudayaan, pembudayaan sikap progresif serta pengalaman nilai, etika dan juga bermoral tinggi (Fadillah & Tengku Sarina Aini, 2007; Amla et al., 2007; Amini, 2006). Ciri-ciri ini ditambah nilai dengan semangat keikhlasan,

12 keupayaan berfikir, berorientasikan pelanggan dan mempunyai tahap kemahiran komunikasi yang berkesan. Selain membincangkan ciri-ciri modal insan berkualiti, kertas ini juga menimbulkan satu lagi isu yang penting dalam pembangunan modal insan yang berkualiti iaitu kemahiran yang harus dipunyai oleh seseorang individu tersebut. Bercakap tentang kemahiran, umum mengetahui kemahiran teknikal dan kemahiran kognitif selalunya ada pada graduan, siswazah, pelajar dan murid di Malaysia. Namun, untuk melahirkan modal insan yang berkualiti, kemahiran insaniah ataupun soft-skills juga perlu diintegrasikan dan diterapkan dalam kalangan mereka (Mohd Izham et al., 2007; Mohd Arifin, 2007; Norshidah & Khalim, 2007; Shuhairimi et al., 2007). Antara kemahiran yang dititikberatkan ialah kemahiran komunikasi, kemahiran berfikir, kemahiran ICT, kemahiran membuat perancangan, kemahiran pengurusan, kepimpinan dan penguasaan pelbagai bahasa. Hasil kajian ini memberi kesan kepada sistem pendidikan negara, di mana sistem pendidikan yang terlalu berorientasikan peperiksaan perlu diubah dan digubal semula dengan menerima pakai penilaian dan pentaksiran berasaskan latihan atau berasaskan sekolah sebagai satu instrumen untuk menilai keupayaan seseorang individu (Kandar & Asnul, 2006; Mohd Izham et al., 2007). Selain daripada itu, kurikulum sekolah dan juga kurikulum di peringkat lebih tinggi seperti universiti juga dikatakan perlu dilengkapi dengan elemen-eleman lain seperti aktiviti ko-kurikulum dan program bengkel kerjaya yang mana elemen ini akan membantu seseorang individu itu lebih kompeten di pasaran buruh ( Mohd Arifin, 2007; Amla et al., 2007). Untuk menjayakan misi ini, guru-guru juga bertanggungjawab dalam mendidik anak didik mereka untuk bersaing menjadi modal insan yang berkualiti. Guru dikatakan boleh meningkatkan kemahiran berfikir dalam kalangan pelajar mereka, selain menitikberatkan pembangunan modal insan yang berakhlak mulia, mempunyai kerohanian yang utuh dan bermoral tinggi berlandaskan konsep Islam Hadhari. (Amla et al., 2007; Noshidah & Khalim, 2007; Asmawati, 2007; Shuhairimi et al., 2007).

13 Oleh yang demikian, implikasi dari kajian ini perlu diteliti dan dikaji dengan lebih mendalam agar hasrat negara Malaysia untuk mempunyai modal insan yang berkualiti tercapai kelak. Persepakatan dan permuafakatan dalam kalangan ibu bapa, guru, masyarakat, pihak industri, pihak universiti perlu sama-sama menggembeling tenaga dalam melahirkan modal insan berkualiti mengikut acuan kita sendiri. Kepincangan tugas dari salah satu pihak boleh menghancurkan hasrat murni ini. Oleh hal yang demikian, semua pihak harus sedar dengan tuntutan tugas masing-masing dan melaksanakan sebaik mungkin. RUJUKAN Amini Amir Abdullah. 2006. Pembangunan Dan Kemajuan Modal Insan Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9): Satu Penelitian. Amla Hj Mohd Salleh, Noriah Mohd Ishak, Zuria Mahmud, Ramlee Mustapha, Mohd Mokhtar Hj Tahar & Syed Mohamad Syed Abdullah. 2007.Strategi Membangunkan Potensi Pelajar Berpencapaian Rendah : Implikasi Kepada Pembangunan Modal Insan. Asmawati Suhid. 2007. Pendidikan Islam Wadah Pembangunan Modal Insan. Fadillah Mansor & Tengku Sarina Aini Tengku Kasim. 2007. Pembangunan Modal Insan Dari Perspektif Pengurusan Islam. Kandar Selamat & Asnul Dahar Minghat. 2006. Memenuhi Keperluan Modal Insan Melalui Latihan Berasaskan Ketrampilan (LBK). Mohd Arifin Ghazali. 2007. Pengangguran Dalam Kalangan Mahasiswa Dan Hubungannya Dengan Pembinaan Modal Insan. Mohd Izham Mohd Hamzah, Roselena Mansor & Zullaili Husein. 2007. Modal Insan Berkualiti : Adakah Kemahiran Insaniah Penyelesaiannya?

14 Mohd Kamil Abd Majid & Rahimin Affandi Abd Rahim. 2008. Perubahan Sosial Dan Impaknya Terhadap Pembentukan Modal Insan Menurut Ibn Khaldun, dalam Jurnal Hadhari, Institut Islam Hadhari. Norshidah Mohamad Salleh & Khalim Zainal. 2007. Kemerosotan Disiplin Pelajar : Cabaran Kepad Pembangunan Modal Insan. Shuhairimi Abdullah, Abdul Jalil Ramli & Muhammda Nasiruddin Mahyuddin. 2007. Ke Arah Pembangunan Modal Insan Di Malaysia : Satu Analisis Berteraskan Islam Hadhari.


ciri-ciri dan kemahiran yang diperlukan dalam pembangunan modal insan berkualiti