Issuu on Google+

Nama pengkaji: Nor Farizan bt Mansor Tajuk kajian: Memperkasakan kosa kata bahasa jepun pelajar tingkatan 3 melalui program NIHONGGO GA SUKIDESU!! (日本語が好きです)

1. REFLEKSI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN Sewaktu saya menyemak karangan pelajar Tingkatan 3E3, saya rasa sungguh terkejut kerana saya dapati walaupun mereka telah mempelajari bahasa jepun hampir 3 tahun, tahap penguasaan kosa kata di kalangan pelajar ini sungguh terhad. Isi yang ditulis tidak berkembang. Selain itu, masih ramai pelajar yang melakukan kesilapan ejaan. Banyak ayat tergantung yang dibina oleh pelajar. Mereka meggunakan perkataan yang biasa mereka gunakan dan berulang-ulang apabila ingin menghuraikan tentang sesuatu perkara. Dalam ujian sumatif yang diberikan kepada pelajar, iaitu soalan 4 yang hanya meminta pelajar menulis ayat berasaskan perkataan yang diberi, saya dapati 40% daripada jumlah pelajar dari kelas ini gagal menjawab soalan ini dengan baik. Apabila saya bertanya kepada pelajar tentang keadaan ini, jawapan yang mereka berikan ialah “lupa maksud perkataan tu,jadi macammana nak bina ayat?”. Saya lihat seolah-olah mereka telah patah semangat untuk memahami dan memperkayakan kosa kata mereka. Apabila saya tanyakan kepada mereka jawapan yang mereka berikan ialah “ susah nak ingat perkataan baru”. Saya menyedari ramai pelajar di kelas ini mempunyai kesukaran untuk menggingati kosa kata baru. Apabila saya tanyakan kepada mereka,jawapan yang mereka berikan ialah “terlalu banyak perkataan baru. Susah untuk kami ingat dan faham maksudnya”. Pelbagai persoalan bermain diminda saya. Adakah cara saya mengajar selama ini dapat membantu pelajar menambahkan kosa kata mereka? Apakah yang boleh saya lakukan untuk menarik minat pelajar memperkasakan kosa kata mereka?Apakah aktiviti yang dapat memudahkan cara untuk pelajar lebih mengingati kosa kata ini? Apakah tindakan yang perlu saya ambil untuk menangani masalah ini? Saya telah berusaha mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran namun masih ramai pelajar yang mempunyai kosa kata yang amat terhad. Saya berpendapat kelemahan penguasaan kosa kata di kalangan pelajar ini ialah disebabkan kurangnya minat untuk menghafal dan kurangnya tumpuan yang diberikan semasa P&P di dalam kelas. Sekiranya saya tidak membetulkan keadaan ini, pelajar pasti tidak akan mampu untuk membina ayat dan membuat karangan kelak.


2. FOKUS KAJIAN Daripada refleksi di atas, didapati pelajar sering melakukan kesilapan seperti: •

Kesilapan penggunaan kata sifat dalam ayat

Pelajar tidak menjawab soalan bina ayat kerana tidak faham maksud perkataan yang diberi.

Pelajar menggunakan kosa kata yang berulang-ulang dalam satu ayat menjadikan ayat itu tidak gramatis.

Masalah ini berlaku dikalangan pelajar kerana pelajar mempunyai kosa kata yang terhad dan mereka sukar untuk mengingati kosa kata yang telah dipelajari. Jika perkara ini tidak ditangani akan menjadi lebih teruk, pelajar akan terus hilang minat untuk belajar. Pelajar juga akan terlepas peluang untuk mendapatkan markah kerana mereka tidak mampu untuk membina ayat yang baik. Bagi mengatasi masalah ini, saya telah mencuba kaedah pendekatan interculcural di dalam pengajaran. Tujuan kajian diharap dapat membantu pelajar memperkaya kosa kata dan seterusnya lulus dengan cemerlang di dalam peperiksaaan setara Bahasa Jepun di tingkatan 4 kelak. Kajian ini melibatkan 17 orang pelajar(15 perempuan dan 2 lelaki) daripada kelas 3E3.

3. TINDAKAN YANG DIRANCANGKAN 3.1 Tinjauan masalah Sebelum langkah-langkah yang seterusnya diambil dalam mengkaji kajian ini, tinjauan terhadap masalah yang dikenalpasti telah dibuat bertujuan untuk memahami dengan lebih mendalam masalah tersebut. Tinjauan yang telah dilakukan dengan mengutip data seperti berikut: •

Pemerhatian

Saya telah membuat pemerhatian ke atas tingkah laku pelajar semsa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung dan didapati kebanyakan pelajar tiada motivasi untuk belajar dan lebih banyak mendiamkan diri dan tidak mampu untuk membina ayat dengan baik. •

Ujian Pra

Ujian pra telah diberikan kepada kumpulan sasaran untuk mengesan penguasaan pelajar terhadap kemahiran yang akan diuji. Ujian ini mengandungi kosa kata adjektif yang perlu dipadankan maksudnya dan juga ujian khas membina ayat berasaskan perkataan yang diberi bagi menganalisis kelemahan penguasaan kosa kata. Seterusnya latihan karangan diberikan bagi mengesan kesilapan penggunaan perkataan dalam ayat penggunaan kosa kata yang berulang-ulang dalam satu ayat.


KEPUTUSAN UJIAN PRA Keputusan ujian pra yang telah dilakukan adalah seperti yang ditunjukkan dalam jadual 1. Didapati pelajar tidak dapat melepasi sasaran markah yang ditetapkan untuk ujian yang dilakukan.

4. PERLAKSANAAN TINDAKAN YANG SAYA JALANKAN IALAH 1. Kaedah pembelajaran intercultural Dalam meningkatkan kemahiran kosa kata pelajar, saya telah mengabil pendekatan menyerapkan budaya jepun di dalam mengintai kosa kata bahasa jepun. Kesemua jawapan bagi soalan yang diberikan memerlukan pelajar menjawab di dalam bahasa jepun.

Aktiviti yang dijalankan Tiga aktivti yang dijalankan iaitu a) Memperkenalkan kimono b) Membuat origami kimono c) Baju kurung vs kimono


Aktiviti 1: Memperkenalkan kimono Tarikh: 4 MAC 2013 Cara pelaksanaan: •

Guru menayangkan gambar pakaian kimono

Pelajar mencari maklumat tentang kimono yang diberikan dengan menjawab soalan yang diberikan.(lembaran 1)

Pelajar memadankan gambar dan corak yang terdapat pada kimono

Pelajar melihat video cara pemakaian kimono


•

Pelajar membina ayat menggunakan kosa kata yang diberikan

•

Memaparkan beberapa jenis kimono dan kegunaannya untuk diteka oleh pelajar

•

Pelajar menyatakan pendapat tentang kimono yang disukai

Refleksi dari aktivti 1 Daripada aktiviti yang dijalankan didapati pelajar sangat seronok untuk mempelajari budaya jepun. Mereka begitu teruja apabila melihat pakaian rasmi bangsa jepun ini dan pemakaiannya yang kompleks. Aktiviti ini telah menimbulkan minat pelajar dan mereka sangat tertarik dengan kepelbagaian corak yang terdapat pada kimono tersebut. Pelajar mencuba untuk mencari kosa kata menggunakan kamus yang dibekalkan untuk menggambarkan corak dan warna yang terdapat pada kimono tersebut. Penggunaan video tentang cara pemakaian kimono banyak membantu pelajar memberikan lebih tumpuan di dalam kelas. Pengukuhan dengan memaparkan beberapa jenis gambar kimono yang berbeza berserta kosa kata yang baru dapat memudahkan lagi pelajar untuk mengingati kosa kata dan membantu kelancaran membina ayat.

Aktiviti 2: Membuat origami kimono Tarikh: 11 Mac 2013


Cara pelaksanaan: •

Setiap pelajar dibekalkan dengan kertas origami yang berbeza corak dan warnanya.

•

Pelajar diberi panduan untuk membuat origami kimono

•

Selesai menyiapkan origami kimono tersebut, pelajar dikehendaki menampal origami pada ruang kertas yang disediakan dan perlu menjawab beberapa soalan yang diberikan berkenaan origami kimono masing-masing.(lembaran 2)

•

Pelajar dibahagikan kepada 5 kumpulan

•

Pelajar dikehendaki memperkenalkan origami kimono masing-masing di dalam kumpulan yang telah ditetapkan (menyatakan ciri-ciri, corak, warna, dan kegunaan beserta kata sifat yang telah dipelajari)


Refleksi aktiviti 2 Dalam aktiviti 2 ini, saya dapati pelajar dapat menyebut dan membuat ayat ringkas dengan baik berdasarkan origami yang dibuat. Kosa kata yang telah digunakan didalam aktiviti 1 dapat diingati dengan mudah oleh pelajar. Pelajar mampu untuk menerangkan origami kimono masing-masing iaitu berkenaan dengan corak, warna dan saiz. Pelajar juga dapat menyatakan pendapat mereka untuk memakai pakaian ini kemajlis yang mereka kehendaki.Ayat yang dibina oleh pelajar lebih tersusun dan kepelbagaian kosa kata turut digunakan dalam membina ayat.

Aktiviti 3: Baju kurung vs kimono Tarikh :18 Mac 2013

Cara pelaksanaan: •

Semua pelajar dikehendaki membawa sepasang baju kurung begitu juga dengan pelajar lelaki.

•

Pelajar diperkenalkan yukata(sejenis kimono musim panas) dan demonstrasi pemakaian yukata.


•

Pelajar dikehendaki menjawab beberapa soalan berkenaan yukata dan baju kurung yang dibawa. (lembaran 3)

•

Pelajar dibahagikan kepada 5 kumpulan

•

Pelajar mempekenalkan baju kurung masing-masing seperti warna, corak dan saiz kepada rakan sekumpulan dan kemudian pelajar dikehendaki membandingkan warna, corak, ciri-ciri dan saiz baju kurung yang dibawa dan yukata yang ditunjukkan.

Refleksi aktiviti 3


Dalam aktiviti 3 ini berlaku cross cultural antara budaya jepun dan budaya melayu. Pelajar dikehendaki menggambarkan ciri-ciri yang terdapat pada baju kurung dan dibandingkan dengan kimono. Penggunaan kosa kata secara berulangkali pada aktivti 1 dan 2 memudahkan aktiviti 3 dilakukan. Pelajar lebih mudah mengingati kosa kata dan dapat membina ayat dengan baik. Cara ini sedikit sebanyak membolehkan pelajar mempelajari budaya yang baru tanpa melupakan budaya asal kita. Saya sangat teruja apabila pelajar mampu untuk membina ayat menyatakan pendapat mereka untuk memiliki dan memakai pakaian kimono kelak. Terdapat juga pelajar yang ingin belajar ke jepun dan memperkenalkan baju kurung kepada masyarakat di sana. Aktivti ini, selain sebagai satu langkah untuk memudahkan pelajar mengingati kosa kata bahasa jepun, ianya juga satu aktiviti yang berjaya memupuk minat pelajar untuk lebih memahami bahasa dan budaya jepun.

5. UJIAN POS 1. Ujian pos ( Tarikh laksana: 20 Mac 2013 ) Ujian pos telah diberikan kepada kumpulan sasaran untuk mengesan sejauh mana keberkesanan aktiviti yang dijalankan dapat membantu penguasaan pelajar terhadap kemahiran yang diuji. Ujian ini sama seperti ujian pra iaitu mengandungi kosa kata adjektif yang perlu dipadankan dan juga ujian khas membina ayat berasaskan perkataan yang diberi. Ujian karangan turut diberikan bagi mengesan kesilapan penggunaan perkataan dalam ayat. Keputusan ujian pos yang telah dijalankan adalah seperti yang ditunjukkan dalam jadual 2. Keputusan menunjukkan pelajar telah berjaya memadankan kosa kata adjektif dan membina ayat berasaskan perkataan yang diberi. keputusan juga menunjukkan pelajar mampu untuk menulis karangan ringkas dengan baik dan melepasi had yang ditetapkan.


6. PENILAIAN DAN REFLEKSI Berdasarkan ujian pos dan analisis yang telah dilaksanakan, saya dapati bahawa kaedah pengajaran secara intercultural ini merupakan salah satu kaedah yang sesuai untuk menarik minat pelajar mempelajari bahasa jepun dan juga merupakan satu kaedah yang berkesan untuk mengingati kosa kata adjektif di dalam bahasa jepun. Kesinambungan dari itu, pelajar mampu untuk membina ayat dan seterusnya membuat karangan. Hasil kajian ini juga telah menunjukkan perkembangan pelajar bahasa jepun dalam mengenal kosa kata baru dengan mudah. Mereka telah dapat memadankan kosa kata adjektif dengan mudah. Mereka juga mampu untuk membina ayat berasaskan gambar dan perkataan yang diberi. Atas kesedaran ini, saya amat yakin dan ingin meneruskan membina lebih banyak bahan-bahan berbentuk budaya jepun untuk menjadi kemahiran asas kepada pelajar agar memudahkan mereka untuk mengingati kosa kata dan membina ayat yang lengkap. Saya juga amat berharap agar sentiasa mendapat sokongan daripada pihak sekolah serta rakan-rakan samada daripada sumbangan idea dan juga kewangan bagi membolehkan saya membina banyak lagi bahan-bahan seperti ini. 7. CADANGAN UNTUK KAJIAN SETERUSNYA Sebagai lanjutan daripada kajian ini, saya bercadang untuk menambahkan lagi unsur intercultural dan cross cultural di dalam P&P saya kelak.


kajian tindakan